FOLLOW ME

January 25, 2013

Perkongsian ILMU - Sampaikan Walau Sepotong Ayat

Agungnya kekasih ALLAH
SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
25 Januari 2013 | Sinar Harian

Baginda berpesan supaya ibu bapa menitik beratkan perihal solat seawal usia kanak-kanak lagi. - Gambar hiasan
ALLAH SWT berfirman: “Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang tinggi (mulia).” (Surah al-Qalam: 4). Menelusuri setiap sisi kehidupan junjungan besar Nabi Muhammad SAW ternyata mengundang titisan air mata sesiapa sahaja yang menghayatinya walaupun kekasih ALLAH SWT itu sudah lebih 1,400 tahun meninggalkan kita.

Saban tahun kita berarak, melaungkan kata-kata pujian dan berselawat ke atasnya sempena tarikh kelahiran Baginda iaitu detik 12 Rabiulawal tahun gajah, tetapi kita sekadar berselawat tanpa menghayati dan langsung tidak berusaha mendidik diri dengan mengikuti profesionalnya nabi akhir zaman itu.

Rasulullah, ikon sepanjang zaman

Rasulullah adalah ikon yang tidak pernah ditelan arus masa, Bagindalah role model yang sepatutnya terpahat dalam diri setiap individu Muslim. Menurut editor sebuah majalah agama, Ustaz Muhammad Luqman Makhtar berkata, kehebatan Nabi dalam mengatur setiap keputusan untuk umat Islam di ketika itu dan kebijaksanaannya menguruskan hal ehwal keluarga wajar dijadikan fokus utama keluarga hari ini.

“Manusia secara fitrahnya bersikap menurut. Kita pastinya akan menurut apa sahaja yang dirasakan memberi impak dalam kehidupan. Menyingkap sejarah Rasulullah, Baginda menjadi ikutan sebelum menjadi rasul lagi.

“Baginda digelar al-Amin (yang jujur) sejak muda lagi oleh masyarakat Arab jahiliah. Sesuai dalam konteks sekarang pada saya dalam melahirkan anak-anak yang dapat meresapi keberanian Rasulullah bermula daripada ibu bapanya,” katanya kepada Rehal.

Muhammad Luqman berpandangan, sungguhpun kita tidak dapat mengaplikasikan setiap amalan dan perbuatan Rasulullah tetapi jika kita berusaha mendekati seperti mengkaji serta meneliti setiap hadis dan sejarah Baginda pastinya dapat mewujudkan perubahan dalam diri dan keluarga.

Muslim profesional seperti Rasulullah

Dalam melahirkan generasi yang berpaksikan landasan sunnah Baginda adalah dengan meneliti setiap kunci kejayaan Baginda dalam semua aspek sama ada semasa membuat keputusan dalam peperangan, menstabilkan ekonomi, mengaturkan politik dan banyak lagi.

“Apabila kita meneliti hadis dan membaca sejarahBaginda, sekali gus akan menitipkan perasaan suka, rindu dan sayang kepadanya.

“Rasulullah adalah seorang yang sangat santun, tidak pernah marah walaupun jubah Baginda dilemparkan najis, dihina oleh wanita kafir dan banyak lagi kisah teladan yang boleh memberi pengajaran untuk kemudi hidup kita,” ucapnya lagi.

Menurutnya, timbulkan rasa kagum terlebih dahulu dalam diri kita terhadap Rasulullah, apabila timbulnya rasa kagum itulah kita dapat mengatur hidup berlandaskan sunnah Baginda. Rasulullah menerapkan nilai profesionalisme dalam setiap keputusan yang dilakukan.

Semasa perang Khandak, jelas terlihat betapa bersikap terbukanya Baginda sebaik mendengar cadangan Salman al-Farisi supaya menggali parit dengan cadangan itulah Islam memperoleh kemenangan. Banyak lagi iktibar lain yang boleh dijadikan landasan untuk menjadi Muslim profesional seperti Rasulullah.

Dalam mengendalikan musyawarah (mesyuarat) sekalipun, Baginda tetap mendengar idea pihaklain dan menerima sebarang keputusan dengan baik tanpa mengekspresikan wajah tidak berpuas hati terhadap keputusan jemaah.

Fahami konsep sunnah

Muhammad Luqman menjelaskan, seseorang Muslim itu perlu memperbetulkan kefahaman mengenai sunnah. Sunnah mempunyai skop yang luas. Sunnah itu adalah budaya, kebiasaan dan amalan.

"Jangan sempitkan pengertian sunnah. Sebagai contoh, makan dan minumlah cara Rasulullah kerana itu adalah sunnahnya. Benar, kita akan ikut tetapi ikut yang termampu. Sedangkan sunnah itu merangkumi akhlak Rasulullah.

“Akhlak Rasulullah itulah yang perlu dipegang sehingga ke hari ini. Ia perlu menjadi ikutan dan bukannya melakukan yang senang sahaja. Tetapi sesetengah daripada kita,
apabila teringat baru amalkan,” kata anak kelahiran Kelantan ini.

Menurutnya, para sahabat seperti Ibnu Masu’d, Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan Anis bin Malik yang sentiasa bersama Baginda di Makkah dan Madinah adalah insan-insan
yang terdekat dengan Baginda. Mereka pastinya akan menyokong dan menyetujui setiap petah yang keluar dari bibir Rasulullah.

ALLAH berfirman bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) ALLAH dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia juga banyak menyebut dan memperingati ALLAH (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab: 21)

Adillah seperti Baginda

Rasulullah sangat istimewa dan akhlaknya yang terpuji tidak kira dalam kalangan keluarga terdekat mahupun jauh, teman dan musuh sekalipun. Baginda sentiasa bersikap adil.

ALLAH berfirman: “Sesungguhnya ALLAH menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan
perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta permusuhan (kezaliman). Dia memberi pengajaran kepadamu supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.” (Surah
an-Nahl: 90).

Langsung tidak terlepas senyuman dari wajahnya, menuturkan kata-kata baik, malahan setiap kejahatan pasti dibalasnya dengan kebaikan dan Nabi sentiasa mengelakkan
perkara-perkara yang tidak perlu.

Kerana itulah, Baginda mengajar umatnya bahawa sebaik-baik orang adalah mereka yang bagus akhlaknya, Baginda bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling baik di
antara kamu adalah yang paling baik akhlaknya.” (Riwayat Tirmizi)

Nabi mengajar pengikutnya bahawa yang paling dekat tempatnya dengan Baginda nanti pada hari kiamat adalah yang paling baik akhlaknya. Terpujinya akhlak Rasulullah dan itu tidak hanya untuk sahabat dan pengikutnya, Baginda juga melayan musuh dengan baik, ketika Baginda diminta untuk mendoakan orang-orang musyrik,

Baginda bersabda: “Sesungguhnya daku tidak diutuskan sebagai pelaknat, tapi daku diutus sebagai pembawa rahmat.” (Riwayat Muslim).

p/s: Sampaikanlah walaupun hanya sepotong ayat.

0 comments:

 

. Template by Ipietoon Cute Blog Design